Pengasas Westports Gnanalingam meninggal dunia

Pengasas Westports Gnanalingam meninggal dunia

G Gnanalingam meninggal dunia pada usia 78 tahun.

G Gnanalingam adalah alumni Harvard Business School di Boston, Amerika Syarikat selepas menamatkan Program Pengurusan Lanjutan Sekolah pada 1983. (Gambar Telibrary)
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Westports Holdings Bhd (Westports Holdings) G Gnanalingam meninggal dunia pada usia 78 tahun, menurut kenyataan dikeluarkan oleh Westports Holdings.

Westports Holdings dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata Gnanalingam ialah pengasas syarikat itu dan merupakan sumber inspirasi.

“Mendiang menyentuh kehidupan kita semua dan masyarakat dengan belas kasihan, kemurahan hati dan kebaikannya. Visi dan kepimpinan beliau terhadap syarikat itu telah membina dan mengubah Westports dan Pelabuhan Klang menjadi pelabuhan terkemuka di Malaysia dan salah satu hab pemindahan kapal di Asia Tenggara.

“Dalam waktu kesedihan ini, kami mengucapkan takziah kepada keluarga Gnanalingam,” katanya.

Gnanalingam dilantik sebagai pengarah syarikat pengendalian kargo marin itu pada 1 Jan 2009 dan sebagai pengerusi eksekutif pada 1 Sept 2013.

Beliau juga merupakan pengerusi eksekutif Westports Malaysia Sdn Bhd (WMSB), sebuah unit milik penuh Westports, jawatan yang dipegangnya sejak 2000.

Sebelum itu, mendiang merupakan pengarah urusan WMSB dari 1995 hingga 1999.

Gnanalingam adalah alumni Harvard Business School di Boston, Amerika Syarikat selepas menamatkan Program Pengurusan Lanjutan Sekolah pada 1983.

Antara anugerah yang beliau terima sepanjang hayatnya dalam industri ialah “Transport Man of the Year” pada 2001 oleh Kementerian Pengangkutan.

Gnanalingam juga pernah menerima anugerah Kelab Billion Ringgit the Edge, “Value Creator: Most Outstanding CEO” pada 2017 atas kecemerlangan kepimpinannya dalam menjadikan Westports sebagai pengendali terminal terkemuka Pelabuhan Klang.

Pada penutupan hari ini, saham Westport kekal pada RM3.53 dengan 372,700 saham bertukar tangan.

Syarikat itu mengendalikan semua jenis kargo dalam kontena, pecah pukal, pukal kering, pukal cecair, kenderaan (roll-on roll-off) dan kargo konvensional yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.