
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata perkara itu perlu kerana lokasi tersebut merupakan kategori jalan kerajaan negeri dan laporan serta ulasan agensi terbabit dari Selangor diperlukan.
“Di peringkat JKR, kita sudah buat kerja dan dimajukan laporan kepada kepada agensi lain. Jadi saya berharap ulasan ini (dari kerajaan Selangor) dapat diperolehi segera, bagi dihantar ke mesyuarat Jemaah Menteri.
“Untuk bila akan diperolehi laporan itu dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, ia bergantung kepada agensi dan kementerian yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan pegawai kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya (JKR) 2023.
Hadir sama Ketua Pengarah Kerja Raya Ahmad Redza Ghulam Rasool dan Pengarah JKR Melaka Ismail Abd Rahman.
Nanta sebelum ini dilaporkan menyatakan laporan tragedi yang berlaku kira-kira 2.30 pagi 16 Dis lalu, dijangka diperoleh pada akhir Jun sebelum ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri, bagi membolehkan semua pihak terbabit mengambil tindakan selanjutnya.
Tragedi itu membabitkan 92 mangsa dengan 31 terkorban manakala 61 terselamat, ketika semua mangsa berada di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Jalan Genting, Batang Kali.