Calon KM P Pinang belum diputus lagi, kata Loke

Calon KM P Pinang belum diputus lagi, kata Loke

Setiausaha agung DAP itu berkata terdapat persefahaman bahawa DAP akan terus menerajui Pulau Pinang sekiranya membentuk kerajaan negeri.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata calon ketua menteri Pulau Pinang akan dibincangkan dalam beberapa hari lagi.
PETALING JAYA:
Masih belum ada keputusan dibuat mengenai siapa calon ketua menteri Pulau Pinang sekiranya Pakatan Harapan berjaya mengekalkan penguasaan di negeri itu, kata Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.

Loke berkata, ada persefahaman antara PH dan Barisan Nasional bahawa DAP akan terus menerajui Pulau Pinang sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan negeri.

“Calon (ketua menteri) masih belum dimuktamatkan, tetapi ia akan dibincangkan dalam beberapa hari lagi,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri satu forum di sini.

Loke ditanya wartawan mengenai khabar angin bahawa Gobind Singh Deo bakal dicalonkan ke jawatan itu.

Sementara itu, Loke berkata DAP akan menggunakan strategi berbeza untuk berdepan pilihan raya bagi memaksimumkan peluang menang dan memastikan kepimpinan yang teguh di Pulau Pinang.

“Jawatankuasa eksekutif pusat akan bertemu tidak lama lagi bagi membincangkan pendekatan kami,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng untuk berterus terang mengenai calon ketua menteri kerana seseorang calon akan menentukan masa depan pembangunan negeri itu.

Pada Sabtu lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata ada khabar angin mengatakan Steven Sim berhasrat menjadi ketua menteri yang baharu tetapi dakwaan itu dinafikan Loke.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.