Suami isteri jalan kaki tuntut keadilan kematian anak

Suami isteri jalan kaki tuntut keadilan kematian anak

Dalam satu video di TikTok pasangan itu dilihat membawa sepanduk dengan mesej “Justice for Thanes”.

Ibu bapa kepada V Thanes Nair berjalan kaki ke IPD Ipoh bagi mendesak tindakan diambil atas kematian anak lelaki mereka.
PETALING JAYA:
Ibu bapa kepada seorang budak lelaki berusia empat tahun, V Thanes Nair yang ditemukan lemas dalam kolam renang di sebuah pusat jagaan kanak-kanak kini menuntut keadilan atas kematian anak mereka.

Dalam satu video di TikTok, pasangan itu dikatakan berjalan kaki dengan berkaki ayam dari sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Klebang di Perak ke IPD Ipoh. Mereka juga membawa sepanduk dengan mesej “Justice for Thanes” (keadilan untuk Thanes) .

Pada April lalu, si ibu D Nilaveni mendakwa sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Ipoh sebagai cuai ketika menjaga Thanes pada hari pertama mangsa dihantar ke situ.

Kanak-kanak itu dilaporkan lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah kolam renang yang terletak berhampiran premis berkenaan sebelum meninggal dunia enam hari kemudian.

Nilaveni berkata pihak pusat jagaan kanak-kanak itu masih gagal memberi penjelasan bagaimana anaknya boleh ditemui tidak sedarkan diri dalam kolam renang dewasa dalam kejadian pada 17 April lalu.

Katanya, dia dan suami sudah membuat laporan polis sehari selepas kejadian itu dan menggesa pihak berkuasa menyiasat apa yang berlaku pada anak mereka pada hari kejadian.

Pusat jagaan kanak-kanak itu, Kinder Labz, berkata pihak pengurusan dan petugas memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.