Saya sertai Bersatu bukan untuk jadi calon PRN, kata Ras Adiba

Saya sertai Bersatu bukan untuk jadi calon PRN, kata Ras Adiba

Bekas senator OKU itu ingin membantu PN menawan Negeri Sembilan pada PRN bulan depan.

Ras Adiba Radzi menyertai Bersatu berikutan perubahan senario politik.
PETALING JAYA:
Bekas senator, Ras Adiba Radzi berkata, beliau menyertai Bersatu bukan untuk menjadi calon PRN, sebaliknya bagi menyokong perjuangan Perikatan Nasional (PN) membela nasib rakyat, khasnya orang kurang upaya (OKU).

Anak jati Seri Menanti di Kuala Pilah ini juga ingin membantu PN menawan Negeri Sembilan pada PRN bulan depan.

“Saya akan memberikan sokongan 500% kepada sahabat dalam Bersatu untuk membantu memastikan PN dapat membentuk kerajaan negeri dalam PRN nanti,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau dilantik ahli Dewan Negara mewakili OKU pada Mei 2020 di bawah kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dan merupakan ahli Umno sehingga akhir tahun lepas, sebelum menyertai Bersatu berikutan perubahan senario politik.

“Saya sudah memikirkan beberapa minggu untuk menyertai Bersatu, walaupun sebelum ini ramai sahabat handai mempelawa untuk menyertai Bersatu.

“Selepas mengamati keadaan politik di negara kita, saya yakin dengan kepimpinan di bawah Muhyiddin akan memberikan sokongan penuh sebagai anak Negeri Sembilan untuk berjuang bersama Bersatu dalam PN.”

Ras Adiba menerima watikah keahlian Bersatu malam tadi, bersama bekas timbalan ketua Umno Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz pada Majlis Pelancaran Jentera PRN PN Negeri Sembilan di Taman Warisan Puteri Sikamat, Seremban.

Dua lagi individu yang menerima watikah keahlian ialah bekas ketua Wanita PKR Negeri Sembilan, Azlimah Zamli dan bekas ketua PKR Jelebu, Mazmi Ahmad Yusof.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.