
Beliau berkata, bekalan dadah seperti pil kuda, syabu, dan ekstasi itu kemudiannya dihantar kepada pelanggan melalui perkhidmatan kiriman cepat atau orang persendirian.
“Daripada pergi kepada tokan, mereka (penagih dadah) boleh ‘order’ dan ia dihantar terus ke rumah,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.
Sutekno berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh AADK, penagih dadah membelanjakan RM50 bagi mendapatkan bekalan dadah setiap tiga hari dan jumlah itu meningkat mengikut tahap ketagihan.
“Dadah ini ikut keaslian atau ketulenan, ada yang murah iaitu serendah RM18 termasuk penghantaran ada direkodkan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan sedang giat merangka Rang Undang-Undang Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagih Dadah 1984.
Sutekno turut memaklumkan JKMD bersetuju supaya AADK melaksanakan Kempen Satu Juta Ahli Skuad Antidadah untuk menggiatkan program dan aktiviti gaya hidup sihat.
Beliau berkata, skuad tersebut berperanan sebagai agen perubahan kepada keluarga dalam penyampaian mesej “pencegahan dadah bermula di rumah”.
Zahid selepas mempengerusikan JKMD, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan AADK diberi tempoh tiga bulan untuk mengkoordinasi usaha merangka inisiatif atau program efektif bagi membendung masalah dadah.