
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sejak 2012 yayasan berkenaan telah membantu ramai yang tidak berkemampuan mendapatkan khidmat peguam apabila berdepan pertuduhan di mahkamah.
“RM10 juta itu peruntukan untuk orang miskin yang tidak mampu membayar peguam. Saya lihat ramai…umpamanya kadang-kadang kes kecil tetapi tidak ada peguam.
“Tertangguh kerana tak dapat mempertahankan dan membela diri mereka. Saya tengok ramai sangat yang tak dapat peluang ini, memperolehi bantuan guaman,” katanya kepada pemberita selepas hadir Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2023.
Anwar berkata kerajaan sentiasa mengiktiraf hak asasi semua pihak untuk menuntut keadilan, termasuk peranan dimainkan oleh Majlis Peguam.
“Bagi menegakkan kedaulatan undang-undang, ia tidaklah boleh dilihat daripada prisma teori perundangan semata-mata kerana prinsip sedemikian tidak boleh direalisasi sekiranya orang di jalanan tidak sumber ekonomi yang mampu untuk mendapatkan akses keadilan.
“Dalam hal ini, saya memuji usaha gigih Majlis Peguam dalam menyediakan bantuan guaman, melalui skim yang ditubuhkan sejak lebih 40 tahun lalu,” katanya.