Gerakan ada hasrat tanding ‘kerusi selamat’ Sungai Dua, kata pemimpin PAS

Gerakan ada hasrat tanding ‘kerusi selamat’ Sungai Dua, kata pemimpin PAS

DUN Sungai Dua yang terletak di bawah Parlimen Tasek Gelugor dikatakan selamat untuk PN berdasarkan keputusan PRU15.

Pada 18 Jun lalu, Dominic Lau mengesahkan akan bertanding di satu daripada kerusi DUN di kawasan Seberang Perai.
PETALING JAYA:
PAS mengakui wujud permintaan dari Gerakan untuk meletakkan calonnya di Sungai Dua, susulan spekulasi presidennya Dominic Lau mahu mencari kerusi selamat di Seberang Perai Pulau Pinang pada PRN.

Terletak di Seberang Perai, DUN Sungai Dua dikatakan “agak selamat” untuk Perikatan Nasional (PN) selepas kejayaanya merampas Parlimen Tasek Gelugor daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 12,252 undi.

Bercakap kepada FMT, Naib Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor Abdul Razib Rahim berkata Gerakan ada menyuarakan hasrat bertanding di Sungai Dua yang turut menjadi rebutan partinya dan Bersatu.

“Dia (Gerakan) hanya berkeinginan saja tetapi di peringkat negeri dan pusat memang tak setuju (beri Sungai Dua kepada Gerakan).

“Kita dah putuskan mereka hanya bertanding di kerusi majoritinya bukan Melayu atau kerusi campuran,” katanya mengulas khabar angin Dominic turut mengintai peluang bertanding di DUN Sungai Dua.

Pada 18 Jun lalu, Dominic mengesahkan akan bertanding di satu daripada kerusi DUN di kawasan Seberang Perai.

Gerakan akan bertanding 19 kawasan DUN di Pulau Pinang pada PRN bulan depan, terbanyak di kalangan komponen PN yang bakal mengisi baki 21 lagi kekosongan.

Razib berpendapat PAS wajar diberikan peluang di Sungai Dua memandangkan ia kerusi tradisinya sejak sekian lama.

“Kalau ikut maklumat (Sungai Dua) masih lagi ‘pending’ kerusi… Bersatu dan PAS masih mahu kerusi tu. Sama ada tukar DUN Air Tawar atau Sungai Dua (antara Bersatu dan PAS).

“Sekarang di peringkat Majlis Presiden untuk tentukan kerusi mana parti mana dapat tetapi bagi PAS, itu kerusi tradisi PAS…. pendirian PAS Tasek Gelugor, sepatutnya diberikan kepada PAS,” katanya yang juga ketua penerangan PAS Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.