Dr M terdesak mahu kekal relevan, kata Anwar

Dr M terdesak mahu kekal relevan, kata Anwar

Anwar menganggap kenyataan Mahathir berkenaan negara berbilang kaum sebagai usaha terdesak terakhir untuk kekal relevan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mempersoalkan mengapa sentimen perkauman masih terus diuar-uarkan pada zaman ini.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim enggan mengulas dakwaan oleh Dr Mahathir Mohamad berkenaan negara berbilang kaum, malah menganggap kenyataannya itu satu usaha terdesak terakhir untuk kekal relevan.

“Bekas perdana menteri itu hilang depositnya di Langkawi. Sudah pasti (isu itu) digunakan sebagai usaha akhir dan terdesak untuk kekal dilihat sebagai relevan.

“Saya akan jadikan beliau tidak relevan, saya tidak akan memberikan sebarang komen mengenainya,” katanya ketika sesi soal jawab dalam Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia.

Mahathir baru-baru ini berkata mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam sesi soal jawab, bekas presiden Majlis Peguam Christopher Leong menyoal sama ada dakwaan Mahathir itu mempunyai kesan terhadap Malaysia dan rakyat negara ini.

Anwar berkata beliau akan menggunakan semua kuasa dan sumber yang ada padanya untuk menangani keadaan itu dan menjawab dakwaan Mahathir itu.

“Jika kita gagal dalam naratif atau perbincangan ini, maka kita gagal sebagai sebuah negara. Tetapi saya rasa kebanyakan kita perlu memegang pendirian bahawa Perlembagaan amat jelas mengenai kedudukan orang Melayu.

“Namun, ia juga jelas dalam melindungi kebajikan seluruh rakyat dan masa depan seluruh rakyat negara ini, dan menjamin masa depan untuk semua,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sentimen perkauman terus diuar-uarkan pada zaman ini.

“Saya tidak faham kenapa pada 2023 kita masih dengan (isu) ini. Kita bukan bercakap mengenai pentadbiran, kemajuan ekonomi, atau teknologi digital, (sebaliknya persoalan seperti) negara ini milik siapa – Melayu, Cina atau Kristian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.