Astana lapor polis, aktivis Sarawak persoal ‘layanan’ terhadap pengkritik Raghad

Astana lapor polis, aktivis Sarawak persoal ‘layanan’ terhadap pengkritik Raghad

Peter John Jaban berkata perlu ada ketelusan membincangkan status anak negeri Raghad Kurdi Taib.

Aktivis Sarawak, Peter John Jaban berkata beliau akan berterusan berkempen bagi membangkit persoalan berhubung status anak negeri diberikan kepada Raghad Kurdi Taib.
PETALING JAYA:
Aktivis hak asasi, Peter John Jaban membangkit persoalan berkait laporan polis dipercayai dibuat terhadap pihak yang mempertikai status anak negeri Raghad Kurdi Taib, isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Taib Mahmud.

Jaban berkata, laporan polis dibuat itu didakwa cubaan menyekat perdebatan sewajarnya berhubung status dan kedudukan tokoh awam, memandangkan maklumat tersebut menjadi pengetahuan awam dan subjek kepada beberapa laporan berita.

Katanya, beliau akan terus berkempen untuk mendedahkan berat sebelah dalam permohonan kewarganegaraan dan peruntukan status anak negeri dalam kes Raghad dengan ribuan lagi rakyat Sarawak.

Kenyataan Jaban itu dikeluarkan selepas The Borneo Post melaporkan nama pegawai tidak dinamakan di Astana Negeri membuat laporan polis terhadap pihak yang didakwa membuat hantaran “hasutan dan mengandungi fitnah terhadap Raghad” di media sosial.

Raghad, wanita kelahiran Syria, mengahwini Taib pada 2010. Beliau mempunyai dua anak daripada perkahwinan sebelum ini diberikan taraf kewarganegaraan pada Jun.

Jaban berkata, perdebatan tidak melanggar privasi Raghad. “Cabutan hak milik dokumen tersedia secara umum dan nombor kad pengenalan diberikan dalam apa-apa majlis, daripada mendaftar dalam acara atau masuk ke premis.

“Hakikatnya, ia disenarai secara terbuka dalam cabutan hak milik, yang mana boleh dibeli dengan bayaran kecil di pejabat pendaftaran tanah,” katanya.

Jaban juga berkata, perdebatan bukan bertujuan merendahkan Raghad, sebaliknya untuk mempersoal kenapa beliau mendapat taraf kewarganegaraan begitu cepat, sedangkan kes lain seumpama berdepan kesukaran.

“Mungkin beliau bimbang, persoalan berbangkit mengapa beliau seperti memiliki dua nombor kad pengenalan apabila ada rakyat Sarawak tidak mampu mendapat satupun,” katanya.

Katanya, rakyat Sarawak mempunyai hak membincangkan isu terbabit dan menuntut siasatan sewajarnya dalam proses memohon kewarganegaraan.

“Semua rakyat Malaysia berhak mendapat kebebasan sama mengikut undang-undang dan Astana, sudah tentu sepatutnya mendokong proses ini, melainkan ada sesuatu hendak disembunyi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.