
Mangsa berusia dua tahun dipercayai sedang tidur ketika kejadian pagi tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Mohd Nasir Idris, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.29 pagi berhubung kebakaran di rumah flat terletak di tingkat dua daripada empat tingkat tersebut.
“Pihak bomba terus ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan itu dan ketika tiba mendapati bilik di sebuah rumah flat berkeluasan 900 kaki persegi di situ terbakar serta api berjaya dipadamkan.
“Kira-kira 20% bilik berkeluasan 100 kaki persegi itu musnah dalam kebakaran dan kami dimaklumkan terdapat seorang kanak kanak berusia dua tahun di dalam bilik berkenaan,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, pemeriksaan dalam bilik itu menemukan kanak-kanak tersebut namun mangsa meninggal dunia.
Nasir berkata, mayat kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Seberang Perai Utara (SPU), Siti Nor Salawati Saad, ketika dihubungi mengesahkan kebakaran yang menyebabkan kanak-kanak lelaki tersebut meninggal dunia.
“Kejadian itu melibatkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan berdasarkan maklumat awal mangsa sedang tidur dalam bilik berkenaan manakala ibunya keluar bekerja pada 7.30 pagi,” katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian neneknya sedang mandi manakala ahli keluarga lain tidur dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.