
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain, berkata tujuh kerusi tersebut terdiri daripada DUN Panchor, Chetok, Mengkebang, Pasir Pekan, Kota Lama, Pasir Tumboh dan Limbongan.
“PKR Kelantan diarahkan untuk membuka Bilik Gerakan Utama di ketujuh-tujuh DUN itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Bilik Gerakan Utama DUN Panchor di sini malam tadi.
Syed Mohd Alidustur, yang juga ketua cabang PKR Pengkalan Chepa berkata, pihaknya akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon-calon dari parti komponen kerajaan perpaduan meskipun di kawasan DUN yang tiada calon PKR bertanding.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman berkata, BN akan bertanding di 31 kerusi DUN, manakala 14 kerusi diberikan kepada Pakatan Harapan (PH), merangkumi PKR dan Amanah.
PRN di Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu akan dijalankan serentak pada 12 Ogos.