
Perdana menteri berkata kejayaan sesuatu projek terutama berimpak tinggi yang dibangunkan di negeri turut berkait dengan dana dikeluarkan kerajaan persekutuan.
Katanya, memiliki kerajaan negeri sehaluan dengan kerajaan persekutuan adalah “lebih baik” untuk memudahkan urusan pentadbiran, apatah lagi jika para pemimpinnya “bersifat sopan dan bijak”.
“Tapi, akhirnya rakyat yang pilih. Namun, kalau dicerita soal pembangunan ekonomi, katalah di Kedah paling tinggi (pembangunan) contohnya di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), pelaburannya daripada kerajaan persekutuan.
“Kalau nak kata Kedah sudah berjaya, itu hasil daripada dana kerajaan persekutuan yang hampir keseluruhannya. Saya tidak nafi ada peranan daripada kerajaan negeri tetapi kerajaan persekutuan lebih besar peranannya,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, menjawab persoalan dikemukakan seorang mahasiswa sama ada rakyat perlu memilih kerajaan negeri yang selari atau pun terbukti keberkesanannya dalam pentadbiran.
Mahasiswa itu memberi contoh pentadbiran kerajaan Terengganu pimpinan Ahmad Samsuri Mokhtar yang dikatakan meningkat dalam aspek pertumbuhan ekonomi, termasuk KDNK sejak diambil alih daripada pentadbiran terdahulu.
Anwar berkata, sektor minyak dan gas menjadi penyumbang tertinggi dalam pertumbuhan ekonomi di negeri Pantai Timur itu, yang mana ia melibatkan Petronas yang berada di bawah kerajaan persekutuan.
“Saya ada beritahu menteri besar (Terengganu) bahawa ketika ke China ada pelaburan syarikat petrokimia yang nak ke Johor, saya cakap lihat juga Terengganu sebab ada potensi. Baru ini ada cadangan tenaga angin (melibatkan) kos tinggi yang bercadang nak eksport ke Singapura
“Saya kata angin yang kuat di sebelah Pantai Timur, maka saya pilih Kelantan atau Terengganu. Esok kalau sampai (projek itu) ke sana saya tak mahu nafikan peranan orang Terengganu dan kerajaannya tapi jangan nafikan sebenarnya kekuatan itu daripada kerajaan persekutuan,” katanya.
Menjelang PRN Kedah yang diadakan serentak di lima negeri lain, gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional Kedah melancarkan kempen “Kalih Bagi Sama”, dalam usaha merampas kerajaan negeri agar sealiran dengan kerajaan persekutuan.
Ketua Umno Kedah Mahdzir Khalid, berkata kempen itu sebahagian tawaran Barisan Nasional dan Pakatan Harapan bagi menawan pengundi Kedah yang mahu melihat pentadbiran negeri dan persekutuan selari supaya lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke negeri terbabit.