Kementerian mohon RM10 juta bantu lebih ramai B40 dapat lesen motosikal

Kementerian mohon RM10 juta bantu lebih ramai B40 dapat lesen motosikal

Peruntukan itu mampu memberikan manfaat kepada lebih 30,000 orang menerusi program MyLesen B2, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Peruntukan RM10 juta itu dimohon Kementerian Pengangkutan supaya lebih ramai golongan B40 dapat memiliki lesen motosikal secara percuma, kata Loke Siew Fook. (Gambar Bernama)
BALIK PULAU:
Kementerian Pengangkutan akan memohon peruntukan RM10 juta untuk memperluas program yang membantu lebih ramai golongan B40 mendapatkan lesen motosikal.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, peruntukan itu mampu memberikan manfaat kepada lebih 30,000 orang menerusi program MyLesen B2, iaitu inisiatif kerajaan untuk membantu golongan B40 mendapatkan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2 (Motosikal) secara percuma.

Kerajaan sebelum ini melancarkan program berkenaan melalui kementerian itu, menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dengan peruntukan sebanyak RM2.7 juta bawah Belanjawan Madani 2023, yang memberikan manfaat kepada 9,000 calon daripada golongan B40 di seluruh negara.

“(Peruntukan RM10 juta) itu supaya lebih ramai golongan B40 dapat memiliki lesen motosikal secara percuma,” katanya kepada pemberita.

“Inisiatif ini bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mendidik masyarakat akan kesedaran terhadap pematuhan peraturan jalan raya dan pembudayaan keselamatan jalan raya dalam kalangan belia.”

Beliau ditemui selepas hadir pada penyerahan lesen memandu bawah Program MyLesen B2 peringkat Pulau Pinang, yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow, di Pusat Latihan Memandu Balik Pulau.

Pada majlis itu, sebanyak 293 pelajar daripada 12 buah sekolah di daerah Barat Daya menerima lesen B2.

Loke berkata, program MyLesen B2 itu juga merupakan komitmen dan usaha cakna kerajaan perpaduan untuk membantu golongan B40 mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.