Bekas Ahli Parlimen PAS patut didakwa di mahkamah, kata Bersih

Bekas Ahli Parlimen PAS patut didakwa di mahkamah, kata Bersih

Bersih berkata keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim di kawasan itu bukti berlaku perbuatan membeli undi.

Kemenangan Ahmad Amzad Hashim di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Ahmad Amzad Hashim dari PAS patut didakwa di mahkamah selepas kemenangannya di Kuala Terengganu terbatal selepas terbukti wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15, menurut pemerhati pilihan raya, Bersih.

Pengerusi Thomas Fann berkata keputusan mahkamah membatalkan kemenangan Ahmad pada PRU 2022 menunjukkan rasuah berlaku.

“Bagaimanapun, calon tersebut tidak dikenakan tuduhan melakukan kesalahan pilihan raya, bermakna jika dia berhasrat bertanding, beliau boleh berbuat demikian.

“Di mana keadilan? Bagi saya dia patut dituduh kerana sudah terbukti,” katanya menurut New Straits Times.

Pada 27 Jun, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad di Parlimen Kuala Terengganu susulan wujud unsur rasuah.

Ahmad menang dengan majoriti 40,907 undi menumpaskan Zubir Embong dari Barisan Nasional pada November 2022, untuk kali kedua selepas pertama kali menang pada 2018. Kerusi itu dikuasai PAS sejak 2013.

Awal hari ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti tidak akan merayu keputusan mahkamah dan bersedia berdepan PRK. Katanya, berkemungkinan Ahmad akan dicalon semula mengambil kira beliau masih dibenarkan mempertahankan kerusi berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.