Kerajaan Selangor cuba roboh pusat khidmat selepas gagal usir, dakwa Hilman

Kerajaan Selangor cuba roboh pusat khidmat selepas gagal usir, dakwa Hilman

Adun Gombak Setia Hilman Idham menyifatkan langkah itu dendam politik kerajaan negeri pimpinan PH.

Pada 28 Jun lalu, penguat kuasa Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang ke premis itu untuk mengosongkannya, tetapi gagal berbuat demikian kerana tiada perintah mahkamah. (Gambar Hilman Idham)
PETALING JAYA:
Adun Gombak Setia daripada Bersatu, Hilman Idham mendakwa kerajaan Selangor cuba meroboh pusat khidmatnya selepas gagal melaksanakan perintah pengusiran.

Beliau mendakwa, kerajaan negeri kini menyedari alasan pembubaran Dewan Undangan Negeri tidak munasabah untuk memaksanya mengosongkan premis itu.

“Maka, mereka ingin mengambil tindakan meroboh serta memusnahkan premis Pusat Khidmat DUN Gombak Setia yang dibangunkan sejak 2008,” katanya di Facebook.

Hilman berkata, penguat kuasa dari Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyerahkan notis pendudukan tidak sah atas tanah kerajaan mengikut Seksyen 425 dan 426A(1)(c) Kanun Tanah Negara semalam.

Seksyen 426A(1)(c) memberi kuasa kepada pihak berkuasa berkaitan merobohkan mana-mana bangunan didirikan atas tanah negeri akibat pendudukan haram.

Hilman berkata, beliau tidak akan tunduk kepada tekanan sedemikian dan akan terus menyalurkan bantuan kepada pengundinya sehingga hari pengundian.

Pada 28 Jun lalu, Hilman membidas kerajaan Selangor kerana mengeluarkan perintah pengusiran ke atas pusat khidmatnya yang menuntut premis itu dikosongkan “segera”.

Katanya, penguat kuasa dari Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta MPS ke premis itu untuk mengusirnya, tetapi gagal berbuat demikian kerana tiada perintah mahkamah.

Beliau menegaskan alasan pengusiran bahawa tiada kelulusan kerajaan negeri diberikan untuk penggunaan tanah itu sebagai pusat khidmat “benar-benar mengarut dan bodoh”.

Hilman mendakwa pusat khidmat itu beroperasi di tanah itu lebih lima tahun, dengan pengetahuan penuh kerajaan Selangor.

Katanya, perintah pengusiran itu tidak mematuhi prosedur undang-undang sewajarnya, termasuk tidak ditandatangani pentadbir daerah dan tanah Gombak, sebaliknya oleh timbalannya yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan.

“Tindakan desperado ini bermotifkan salah guna kuasa, ugutan dan ‘vendetta’ politik oleh kepimpinan kerajaan Selangor yang jelas takut akan kebangkitan rakyat menjelang PRN Selangor.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.