Tambah baik program MM2H, kata Sultan Johor

Tambah baik program MM2H, kata Sultan Johor

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata penambahbaikan dari segi dasar dan insentif untuk tidak membebankan peserta MM2H.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membincangkan tambah baik Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. (Facebook Sultan Johor)
PETALING JAYA:
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sekali lagi membangkitkan keperluan supaya kerajaan menambah baik Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi menjadikan negara sebagai destinasi utama peserta.

Sultan Ibrahim berkata penambahbaikan itu membabitkan dari segi dasar, insentif dan manfaat supaya program terbabit tidak membebankan.

“Penambahbaikan itu penting dalam menjadikan Malaysia sebagai antara destinasi pilihan utama,” kata baginda dalam kenyataan dimuat naik di Facebooknya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Pada Ogos 2021, Sultan Ibrahim menggesa kerajaan menyemak semula syarat program MM2H bagi mencapai imbangan positif kemasukan pelabur serta pertumbuhan ekonomi negara.

Ini kerana program MM2H yang dibenarkan beroperasi semula dengan beberapa syarat baharu kepada peserta dilihat terlalu ketat.

Syarat MM2H baharu yang diperkenalkan pada 2021 mengenakan syarat kelayakan kewangan lebih tiga kali ganda lebih tinggi.

Pemohon dikehendaki memiliki simpanan kekal sekurang-kurangnya RM1 juta (naik daripada RM300,000) dan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta (RM500,000 sebelum ini) dan pendapatan luar pesisir bulanan RM40,000 (naik daripada RM10,000).

Sementara itu, Tiong berkata beliau akan berbincang bersama Kementerian Dalam Negeri dan pemain industri berhubung penambahbaikan MM2H dicadangkan Sultan Ibrahim.

Menurutnya, kertas cadangan mengenainya akan dibawa ke Kabinet bulan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.