
Kejadian itu hanya disedari pada 10 pagi tadi apabila pegawai bertugas yang membuat rondaan di sel lokap mendapati tahanan berusia 40 tahun itu telah meninggal dunia.
Lelaki yang bekerja sebagai peniaga itu ditahan di Lunas, Kedah semalam.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin, lelaki tersebut diletakkan di dalam sebuah sel bersama tiga lagi tahanan selepas dibawa balik dari mendapatkan permohonan reman di mahkamah.
Ketika kejadian, katanya, tiga tahanan yang turut menghuni sel itu sedang tidur.
“Pihak polis menjalankan pemeriksaan awal dan mengikut prosedur ditetapkan, termasuk memanggil pihak koroner yang mengesahkan suspek mati tiada unsur jenayah.
“Mayat dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat dan kes disiasat sebagai kematian mengejut,” kata Khaw pada sidang media di George Town, lapor Bernama.
Khaw berkata, lelaki tersebut ditahan bersama empat lagi lelaki berusia 35 hingga 58 tahun dalam siri serbuan di sekitar Pulau Pinang dan Lunas, bermula 12 tengah hari semalam hingga 7 pagi hari ini.
Dalam siri serbuan di Nibong Tebal, Taman Tasek Mutiara dan Seberang Perai Tengah serta Lunas itu, polis merampas 11,327g ganja bernilai RM37,400 dan “mushroom” atau “magic mushroom” seberat 1,393g berharga RM78,000.