
Loke berkata wakil daripada kementerian dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa syarikat penerbangan yang mengupah firma tersebut.
“Kami perlu mengetahui daripada AOC (Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan KLIA) mengenai tempoh kontrak dan terma yang mereka ada dengan syarikat swasta ini.
“Tindakan hanya akan diambil setelah kami menerima semua butiran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Nature Positive Infrastructure.
Awal hari ini, MAHB menafikan memberikan kontrak kepada syarikat yang berpangkalan di KLIA.
Tambah Loke, syarikat swasta itu diupah oleh AOC pada 2015 untuk “mengendalikan lounge NTL”.
“Syarikat ini tidak dilantik oleh MAHB. Malah saya beranya kepada MAHB (semalam) di pasca mesyuarat Kabinet, dan mereka memberitahu tidak mengupah syarikat itu,” katanya.
Katanya, AOC mengupah syarikat terbabit kerana di bawah Akta Imigresen, pengembara yang diberi notis NTL perlu dikenalikan oleh syarikat penerbangan mereka.
“Syarikat penerbangan itu mesti mengendalikan mereka dalam erti kata mereka mesti menyediakan makanan dan mengatur proses perjalanan untuk keluar dari negara,” katanya.
“Namun bagi KLIA 1, AOC melantik syarikat swasta untuk mengendalikan perkara ini, sebab itu kita mempunyai isu ini sekarang,” katanya.
Semalam, Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, berkata ejen yang didakwa meminta bayaran untuk membantu seorang warga China selepas dinafikan masuk ke Malaysia, dikaitkan dengan sebuah syarikat diberi kontrak oleh MAHB untuk menguruskan pengembara yang diberi notis NTL.
SPRM sedang menjejaki ejen itu yang dipercayai warga asing.
Azam berkata SPRM juga akan merakam keterangan daripada syarikat itu dalam masa terdekat selain akan “menyiasat secara menyeluruh” sama ada kontrak diberikan syarikat itu dibenarkan kerajaan.
Jumaat lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mengaku beliau dikaitkan dalam kekecohan dengan pegawai Imigresen di KLIA selepas cuba membantu warga China yang didakwa dilarang masuk ke Malaysia.
Tiong mendakwa lawatannya ke lapangan terbang itu telah mendedahkan “budaya rasuah oleh beberapa pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik”.
Semalam, Azam berkata SPRM telah merakam keterangan sekurang-kurangnya 14 orang yang terlibat dalam kejadian itu, termasuk Tiong, wanita Cina itu, dan lapan pegawai imigresen.