Sarawak belum capai status pendapatan tinggi, kata timbalan menteri

Sarawak belum capai status pendapatan tinggi, kata timbalan menteri

Pendapatan per kapita negeri kini lebih rendah daripada USD13,000, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Gerawat Gala.

Cabaran seterusnya bagi Sarawak adalah untuk mencapai agihan pendapatan dan kekayaan yang seimbang bagi seluruh populasi Sarawak, kata Richard Wee. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang timbalan menteri negeri menyangkal kenyataan ahli ekonomi Bank Dunia bahawa Sarawak kini sebuah negeri berpendapatan tinggi berdasarkan pendapatan negara kasar (PNK).

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Gerawat Gala berkata, Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) Sarawak 2030 menunjukkan bahawa pendapatan per kapita semasa negeri itu lebih rendah daripada USD13,000 (RM60,600).

“Saya tidak pasti bagaimana Bank Dunia membuat kesimpulan bahawa PNK Sarawak (melebihi ambang pendapatan tinggi) USD13,205, yang kelihatan sangat tinggi bagi saya.

“Sarawak belum lagi sebuah negeri berpendapatan tinggi. PCDS 2030 kami disasarkan untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya, lapor The Borneo Post.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak Richard Wee berkata, data yang digunakan oleh Bank Dunia tidak menggambarkan pendapatan sebenar keseluruhan populasi Sarawak.

Wee berkata, data yang digunakan tidak mengambil kira pengagihan pendapatan dalam negeri itu, walaupun PNK yang tinggi adalah suatu pencapaian.

“Walaupun kami berbangga untuk mencapai titik penting ini (berdasarkan pengiraan Bank Dunia), ia langkah pertama ke arah menjadi wilayah maju.

“Cabaran seterusnya adalah untuk mencapai agihan pendapatan dan kekayaan yang seimbang bagi seluruh populasi Sarawak,” katanya.

Tambahnya, walaupun Sarawak mencapai status sedemikian, ini tidak bermakna tiada golongan miskin dan memerlukan di negeri itu.

“Banyak bandar dan negeri yang maju dan kaya juga mempunyai golongan miskin dan memerlukan, yang turut perlu diberi perhatian.

“Kami masih perlu bekerja keras untuk memastikan semua rakyat Sarawak akan mendapat manfaat daripada status sedemikian,” katanya.

Terdahulu, ahli ekonomi Bank Dunia Apurva Sanghi berkata, Sarawak kini sebuah negeri berpendapatan tinggi, berdasarkan penukaran data yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.

Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dan Labuan juga melebihi ambang pendapatan tinggi, menurut data Apurva.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.