
Setiausaha agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, suruhanjaya tersebut mesti mempunyai “taring” agar kepentingan pekerja dan majikan dapat diutamakan berbanding matlamat politik.
Menurutnya, satu polisi pekerjaan yang lebih jelas menerusi dasar gaji progresif perlu dilaksanakan kerana golongan pekerja tidak mempunyai peningkatan atau perubahan sosial akibat penambahan gaji secara tahunan yang tidak lagi diamalkan oleh majikan.
“Peningkatan gaji adalah sangat perlahan. Pelbagai kerenah dan birokrasi perlu dilalui majikan memberi kenaikan gaji,” katanya dalam kenyataan.
“Terdapat pekerja yang bekerja lebih 25 tahun dibayar gaji RM1,500. Ekosistem pembayaran gaji ini tidak sihat kepada pekerjaan.”
Beliau berkata, majikan dan pekerja berpeluang mendapat anggaran gaji bagi sesuatu pekerjaan di masa depan melalui dasar gaji progresif.
Tambahnya, gaji progresif adalah “ubat yang mujarab” bagi menghapuskan kemiskinan tegar di kalangan pekerja.
“Kajian yang dijalankan oleh Pusat Pasaran Buruh Masa Hadapan turut mendapati peningkatan 1% gaji akan memberi tambahan produktiviti sebanyak 2.2%,” katanya.
Dalam pada itu, Kamarul berkata, dasar gaji progresif perlu mengambil kira golongan pelatih dan pencen, serta elemen seperti tahap pendidikan, kemahiran vokasional dan juga pengalaman bekerja.
“Ini dapat menyelesaikan masalah kekurangan pekerja tempatan dalam sektor 3D, ketidaksepadanan pekerjaan, peningkatan kemahiran, produktiviti mahupun keuntungan syarikat,” katanya.
Jumaat lepas, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar mengakui wujud kekangan untuk melaksanakan gaji progresif yang hendak diperkenalkan seiring peningkatan kos sara hidup dan kemahiran.
Katanya, pembentangan pada Majlis Tindakan Ekonomi Negara Ogos depan akan meneliti kewajaran pelaksanaan, menetapkan sama ada perlu kajian lanjut atau menambah baik sistem gaji sedia ada.