Lelaki maut digilis kereta api di Kelantan

Lelaki maut digilis kereta api di Kelantan

Mohammad Aqil Irfan Hizuan, 23, meninggal dunia di tempat kejadian pada 7 pagi tadi.

Bapa mangsa, Hizuan Jusoh berkata, ketika kejadian, anaknya mungkin melintas landasan kereta api untuk ke rumah bapa saudara yang terletak berdekatan.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut dipercayai digilis kereta api di Kampung Tanjung, Pasir Mas.

Mohammad Aqil Irfan Hizuan, 23, meninggal dunia di tempat kejadian pada 7 pagi tadi.

Bapa mangsa, Hizuan Jusoh, 52, berkata dia segera ke tempat kejadian selepas dimaklumkan adik ipar, Aiman Abd Rashid, 20.

“Mengucap panjang saya melihat anak sudah tidak bernyawa dan parah di kepala.

“Saya kemudian mengangkat dan mengalihkan arwah. Saya jangka kejadian berlaku awal pagi kerana tubuhnya sejuk selain bajunya dipenuhi embun,” katanya menurut Harian Metro.

Hizuan berkata, kali terakhir dia menemui anak ketiga daripada lima beradik itu dua hari lalu kerana Aqil tinggal dengan datuknya sejak berusia 15 tahun di kampung berhampiran lokasi kejadian.

“Saya tidak berbual panjang dengannya dan dia juga kelihatan ceria seperti biasa, tiada sebarang tingkah laku meragukan.”

Katanya, dia dimaklumkan Aqil menerusi WhatsApp meminta maaf kepada abangnya, Mohammad Zuhairi, 28, yang pulang ke Johor, malam tadi.

“Mereka berdua sangat rapat dan arwah meminta maaf kerana tidak sempat berjumpa sebelum abangnya pulang selepas cuti Aidiladha.

“Landasan kereta api ini sering digunakan penduduk, termasuk arwah. Jadi mungkin ketika kejadian, dia melintasi landasan untuk ke rumah bapa saudara yang terletak berdekatan,” katanya sambil menambah mereka sekeluarga reda dan berharap urusan pengebumian arwah dipermudahkan.

Jenazah dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal Kampung Jelujuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.