Kumpulan perniagaan, pengguna sambut baik OPR kekal 3%

Kumpulan perniagaan, pengguna sambut baik OPR kekal 3%

Keputusan bank pusat itu datang pada masa pengguna dan pengeluar berdepan peningkatan kos dan tekanan inflasi.

Wujud kebimbangan bahawa pengguna akan mengubah tabiat perbelanjaan mereka apabila kadar faedah naik.
PETALING JAYA:
Kumpulan perniagaan dan pengguna menyambut baik keputusan Bank Negara (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3%.

Mereka berkata, pengekalan OPR itu melegakan memandangkan kenaikan harga akan dapat dielak.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) William Ng berkata, mengekalkan OPR pada 3% penting agar kos berada pada tahap yang boleh diurus.

“Dalam penglibatan kami dengan BNM dan Kementerian Kewangan, kami menekankan kepentingan mengekalkan OPR pada tahap semasa.

“Sebarang kenaikan kos sekarang akan memudaratkan pertumbuhan dan pemulihan,” kata Ng kepada FMT.

Beliau berkata, walaupun tekanan inflasi mereda bagi pengguna dan pengeluar, dasar untuk membantu mengurus kos dan membendung kenaikan kos masih penting dalam jangka pendek.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai berkata, tinjauan baru-baru ini membabitkan ahli-ahlinya menunjukkan bahawa pemain industri “berasa terhimpit” dengan kadar faedah yang lebih tinggi.

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya pada awal Mei, bank pusat itu menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3%.

Soh berkata, kenaikan kadar faedah ini meningkatkan kos pengeluaran, menjejaskan aliran tunai untuk perniagaan.

“Akibatnya, industri terpaksa memperkemas operasi dan strategi mereka untuk mengurangkan modal (pelaburan) dan memaksimumkan keuntungan.”

Soh berkata, terdapat juga kebimbangan bahawa pengguna akan mengubah tabiat perbelanjaan apabila kadar faedah meningkat. Ini akan menjejaskan jualan dan selanjutnya, aliran tunai untuk perniagaan, katanya.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Paul Selvaraj berkata, pengekalan OPR pada 3% bermakna kadar faedah pinjaman tidak akan dinaikkan.

Ini akan melegakan mereka yang sudah terbeban dengan kenaikan kos sara hidup, katanya.

Walaupun berharap BNM akan mengekalkan OPR pada 3% pada masa akan datang, Selvaraj berkata, lebih penting bagi ekonomi untuk stabil.

Ketika mengumumkan keputusannya untuk mengekalkan OPR pada 3% hari ini, BNM berkata, pendirian dasar monetari itu “sedikit akomodatif dan kekal menyokong ekonomi”.

Katanya, berikutan prestasi kukuh pada suku pertama tahun itu, ekonomi berkembang pada kadar yang lebih sederhana dalam beberapa bulan kebelakangan ini pada ketika eksport terjejas oleh permintaan luar yang lebih lemah, seperti yang dijangka.

Keputusan BNM untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas pada 3 Mei mengejutkan ramai pihak, memandangkan ia tidak menaikkannya pada dua mesyuarat sebelumnya. pada Januari dan Mac.

Sebelum itu, OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas pada setiap empat mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari dari Mei hingga November tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.