
Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata daripada 481 projek sakit di dalam negara, ada antaranya yang telah menunjukkan kemajuan yang baik.
“Contohnya Residensi Larkin Indah di sini, dari segi definisi itu memang sakit kerana telah melangkaui tempoh (siap) sepatutnya, cuma ia (projek ini) insya-Allah akan sihat.
“Tapi kalau kita perincikan lagi … terdapat projek sakit yang agak kritikal. Jadi untuk itu, tujuan lawatan dan sebagainya ini, (adalah untuk teliti) yang mana (projek) kita boleh cuba keluarkan daripada senarai projek sakit itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Residensi Larkin Indah.
Daripada senarai projek sakit itu, 52 ialah projek sakit di Johor, kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu.
Justeru katanya, KPKT akan terus memantau dan menjalankan intervensi di seluruh negara bagi meredakan peningkatan jumlah projek sakit di dalam negara.
“Ketika kita (kerajaan perpaduan) ambil alih, kita jangkakan terdapat peningkatan mendadak bagi projek sakit akibat atau susulan pasca-Covid-19 atau akhirnya Akta Covid.
“Ketika zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita ada ‘blanket law’ yang memberi pengecualian untuk EOT (lanjutan masa) kepada pemaju yang mohon.
“Jadi dengan EOT tamat awal tahun ini, banyak projek yang sepatutnya sebelum Covid-19 atau semasa Covid-19 patut siap tapi dapat EOT, mereka (pemaju) tangguh, maka tahun ini terdapat peningkatan mendadak (projek sakit),” katanya.