
Feri-feri tersebut – Teluk Kumbar, Teluk Bahang, Teluk Duyung dan Teluk Kampi – dibawa menggunakan sebuah kapal kargo dari Vietnam, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn Bhd (PPSB Sasedharan Vasudevan.
Dua feri kemudian ditunda ke Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham di bahagian pulau dan dua lagi dibawa ke bahagian tanah besar di Seberang Perai, katanya.
“Keempat-empat feri ini akan memulakan operasi pada bulan depan di terminal Pangkalan Raja Tun Uda dan Pangkalan Sultan Abdul Halim yang sudah dinaik taraf,” katanya, lapor Berita Harian.
Sebelum ini dilaporkan bahawa PPSB membelanjakan RM100 juta untuk empat feri baharu itu, termasuk kos menaik taraf dua terminal terbabit.
Setiap feri baharu itu boleh memuatkan 250 penumpang dan 50 kenderaan dua roda pada satu-satu masa, dan masa perjalanannya hanya 10 minit berbanding 20 minit sebelum ini.
Terdahulu, perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang ditamatkan sepenuhnya pada Disember 2020 bagi memberi laluan kepada perkhidmatan baharu.
Sebagai langkah interim, feri bot laju digunakan bagi membawa penumpang, manakala feri Ro-Ro membawa motosikal dan basikal.
Bagaimanapun, kenderaan empat roda tidak lagi dapat menggunakan perkhidmatan feri sebaliknya perlu menggunakan Jambatan Pulau Pinang.