
Ketua Polis Kedah Fisol Salleh berkata seramai 54 individu berumur 20 hingga 50 tahun ditahan, 29 daripadanya warga China, Taiwan (19), Bangladesh (2) dan tiga penduduk tempatan.
Menurutnya, premis itu menjadi pusat panggilan sindiket yang menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa sebelum memaklumkan bahawa akaun bank mangsa sedang disiasat dan wang mereka akan dibekukan atau hilang.
“Mangsa telah diminta untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh pihak sindiket dan mereka ini menyasarkan mangsa dari China dan Taiwan.
“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Exora, sebuah lori jenis Isuzu, anak kunci, komputer riba, telefon bimbit, router, mesin pencetak, kertas skrip serta kertas yang mengandungi nombor akaun bank negara China,” katanya menurut Bernama.
Katanya, kesemua individu terbabit ditahan reman selama empat hari hingga Jumaat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 55B(1) akta yang sama.