
Kanak-kanak itu lumpuh seluruh badan hingga ke paras leher akibat kecederaan saraf tunjang ekoran komplikasi ketika membedah ibunya secara Caesarean, ketika dilahirkan pada 12 Mei 2020.
Inkuiri dijalankan sejurus kanak-kanak itu dilahirkan mendapati petugas kesihatan yang bertugas ketika kejadian tiada pengalaman untuk menjalankan pembedahan itu, dan ia dijalankan tanpa penyeliaan pakar obstetrik dan ginekologi.
Kanak-kanak itu memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan doktor-doktor terbabit, menerusi bapanya. Katanya, pihak-pihak yang berkenaan cuai dan gagal bertindak demi kepentingannya.
Kerajaan mengambil tanggungjawab dan mahkamah diminta menaksir ganti rugi.
Hakim Akhtar Tahir berkata wang sebanyak mana pun tidak akan dapat mengurangkan penderitaan kanak-kanak itu.
“Mahkamah berpandangan jumlah ganti rugi mesti mengambil kira perbelanjaan tambahan yang akan ditanggung oleh penjaga ketika menjaga plaintif yang hilang upaya ini,” katanya.
Hakim berkata, beliau turut mengambil kira keterangan daripada doktor bahawa hayat kanak-kanak itu mungkin sehingga 23 tahun, berdasarkan keadaannya dan kemajuan teknologi zaman ini.
Mahkamah memerintahkan kanak-kanak itu berhak mendapat pampasan yang mencukupi untuk menanggung sepanjang hayatnya.