3 tahun selepas ‘Langkah Sheraton’, Dr M-Muhyiddin bertemu bincang isu Melayu

3 tahun selepas ‘Langkah Sheraton’, Dr M-Muhyiddin bertemu bincang isu Melayu

Khairuddin Abu Hassan berkata pertemuan hampir dua jam itu membuktikan manifestasi penyatuan Melayu diusahakan Mahathir yang mendapat sambutan dari pelbagai pihak walaupun berlainan ideologi.

Perjumpaan Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin itu tidak menyentuh hal parti tetapi berkisar permasalahan orang Melayu serta penyelesaian berteraskan Perlembagaan. (Gambar Kredit Khairuddin Abu Hassan)
PETALING JAYA:
Selepas tiga tahun “bersengketa” angkara Langkah Sheraton, dua bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin bertemu malam tadi untuk membincangkan kerjasama menerusi Proklamasi Orang Melayu.

Pengerusi sekretariatnya Khairuddin Abu Hassan berkata pertemuan hampir dua jam itu membuktikan manifestasi penyatuan Melayu diusahakan Mahathir mendapat sambutan dari pelbagai pihak walaupun berlainan ideologi.

“Gerakan Proklamasi Orang Melayu secara ‘non partisan’ membuka pintu secara seluas-luasnya kepada mana-mana individu Melayu yang bersemangat untuk bersatu-padu tanpa kira apa saja fahaman ideologi politik masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

27 Jun lalu, FMT melaporkan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu bersetuju bertemu dengan Mahathir berkait Proklamasi Orang Melayu selepas sambutan Aidiladha.

Katanya, beliau membaca 12 agenda dalam proklamasi itu yang disifatkannya agak baik dan menjadi asas prinsip perjuangan parti pimpinannya.

Menurut perdana menteri kelapan itu, agenda dalam perlembagaan negara, hak istimewa orang Melayu dan Islam selain memartabatkan ekonomi bangsa sudah lama diperjuangkan Bersatu, lebih awal daripada Proklamasi Orang Melayu diasaskan Mahathir, Mac lalu.

Mahathir sebelum ini berkata, proklamasi itu bertujuan menyatukan orang Melayu melangkaui garis politik. Ia menarik sokongan dan ditandatangani beberapa pemimpin parti pembangkang termasuk Presiden PAS Hadi Awang dan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu atas kapasiti persendirian.

Awal Jun, Mahathir dilaporkan berkata sedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekali lagi, tiga tahun selepas hubungan mereka renggang susulan “Langkah Sheraton”, menyaksikan pentadbiran beliau ketika itu tumbang dan digantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Ahli Parlimen Pagoh berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.