
Menteri Fahmi Fadzil mahu industri kurier terus berdaya saing dan pada masa sama tidak menjejaskan keselamatan keselamatan dan kebajikan pekerja.
Selain itu, sebarang keputusan harus mengambil kira kemampanan bagi industri dan tidak membebankan pengguna.
“Ia mesti seiring dengan satu penyelarasan dalam pengendalian industri,” katanya selepas majlis Hari Apresiasi Industri Kurier.
Fahmi berkata industri kurier ketika ini menjadi punca rezeki 100,000 pekerja dalam perkhidmatan penghantaran barangan menggunakan motosikal, dan dijangka akan memberi peluang pekerjaan kepada lebih 160,000 yang lain.
“Oleh itu sebarang dasar dibuat perlu mengambil kira tenaga kerja yang besar,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan SKMM diminta meneliti segi kelulusan bagi pemohon lesen, untuk kawal selia yang lebih baik, memandangkan jumlah lesen yang “agak besar”.
Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi memaklumkan SKMM sudah memulakan Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) pada 2021 untuk menyokong pertumbuhan industri pos dan kurier ke arah mencapai 30 bungkusan per kapita menjelang 2025.
PAKEJ bertujuan menyediakan perkhidmatan kurier kelas pertama melalui empat asas iaitu kebolehpercayaan dari segi kualiti perkhidmatan, mencapai liputan yang lancar, relevan melalui pertumbuhan industri, dan daya tahan melalui kemampanan.
“Inisiatif ini diharap dapat melonjakkan lagi industri kurier untuk berkembang daripada kekuatan ke kekuatan sebagai jentera utama dalam memastikan kejayaan e-dagang dan ekonomi digital di Malaysia,” katanya.