
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata bagaimanapun kerajaan sudah melakukan penilaian berhubung perkara itu sebelum melaksanakannya.
“Pelaksanaan gaji minimum akan ada risiko naik sedikit inflasi. Tetapi kita akan sentiasa memastikan kenaikan gaji boleh mengimbangi antara gaji dan kos sara hidup. Itu fokus kita.
“Yang berlaku sekarang adalah kerana kenaikan gaji tidak dapat menanggung kenaikan harga barang,” katanya selepas menghadiri majlis perjumpaan menteri ekonomi bersama warga Kementerian Ekonomi.
Pelaksanaan gaji minimum baharu diluluskan kerajaan pada 19 Mac 2022, diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 27 April tahun lalu dan dikuatkuasakan 1 Mei lalu.
Manakala pelaksanaan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan mempunyai kurang lima pekerja dikuatkuasakan mulai 1 Julai lalu.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, pelaksanaan gaji minimum dapat memastikan pendapatan rakyat naik secara berkala setimpal dengan kenaikan kos sara hidup.
“Cuma yang penting inflasi dapat ditampung oleh kenaikan gaji yang setimpal dengan nilai kerja,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata kadar inflasi negara pada Mei lalu terus reda kepada 2.8% berbanding 3.3% pada April 2023.
Katanya, ini mencatatkan penurunan sembilan bulan berturut-turut.