Mahkamah terus dengar kes pekebun durian Raub cabar pengusiran

Mahkamah terus dengar kes pekebun durian Raub cabar pengusiran

Hakim menolak permohonan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd untuk membatalkan permohonan semakan kehakiman kumpulan pekebun durian itu hari ini.

Antara pekebun durian terbabit di luar Mahkamah Tinggi Kuantan sebelum ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuantan akan mendengar semakan kehakiman yang dimohon 204 pekebun durian Musang King dari Raub, Pahang, terhadap keputusan kerajaan negeri untuk mengusir mereka.

Menurut Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui, Hakim Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd untuk membatalkan permohonan semakan kehakiman kumpulan pekebun durian itu hari ini.

Syarikat itu adalah salah satu responden yang dinamakan dalam cabaran undang-undang tersebut.

Responden lain termasuk pentadbir tanah daerah Raub, pengarah perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP).

Chow berkata, mahkamah turut menganugerahkan kos RM20,000 kepada kumpulan pekebun yang memulakan cabaran undang-undang tersebut tiga tahun lepas.

Sementara itu, peguam yang mewakili kumpulan pekebun itu, Siew Choon Jern berkata, mahkamah akan mendengar permohonan penzahiran oleh pekebun-pekebun terbabit pada 12 Sept.

Katanya, mereka telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan dokumen tertentu daripada responden bagi permohonan semakan kehakiman.

Para pekebun tersebut turut diwakili oleh Brendan Navin Siva selaku peguam.

Kumpulan pekebun itu memfailkan cabaran undang-undang terhadap kerajaan Pahang dan responden lain pada 2020.

Notis pengusiran, yang dikeluarkan kepada kumpulan pekebun itu pada 21 Dis 2020, mengarahkan mereka mengosongkan tanah selewat-lewatnya pada 4 Jan 2021.

Kumpulan pekebun itu memfailkan semakan kehakiman terhadap arahan kerajaan negeri supaya mereka mengosongkan kebun di pelbagai kawasan seluas 2,167 hektar di Raub, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Sungai Klau.

Selain keputusan mengenai perintah mengosongkan tanah bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahu keputusan berhubung tindakan kerajaan negeri yang didakwa memajakkan tanah kebun seluas 2,167 hektar itu kepada Royal Pahang Durian Resources PKPP.

Mereka juga meminta semakan semula keputusan menyewakan tanah itu dan syarat mandatori menjual durian kepada entiti tunggal yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.