
Syed Saddiq berkata keputusan itu diambil berdasarkan kemampuan parti itu termasuk memerlukan jumlah dana yang besar untuk bertanding di semua kerusi.
“Saya akui cabaran luar biasa, Muda perlu ukur baju di badan sendiri. Untuk mengharapkan kita bertanding di 245 kerusi DUN adalah mustahil.
“Realitinya kita akan bertanding kurang 10% daripada kerusi yang dipertandingkan ini,” katanya pada program Sinar Live.
Syed Saddiq berkata beliau ingin membuktikan walaupun calon muda kecil dan kurang kewangan tetapi mereka boleh melaksanakan kerja dengan lebih baik.
“Kita perlu bersedia untuk kalah kerana ia boleh mengajar untuk jadi pemimpin lebih baik,” katanya.
Pada minggu lalu, Syed Saddiq mengumumkan Muda akan bertanding solo dalam PRN, sekali gus bakal bertembung rakan dalam kerajaan perpaduan iaitu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
Syed Saddiq juga berkata Muda akan berbincang dengan Parti Sosialis Malaysia mengenai kemungkinan bekerjasama di Selangor kerana kedua-dua parti itu ada persamaan dalam isu-isu penting.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan satu mesyuarat khas diadakan Rabu ini bagi membincangkan tarikh PRN selepas semua enam negeri membubarkan DUN masing-masing.
Sejumlah 245 kerusi DUN akan dipertandingkan dalam PRN tidak lama lagi di Selangor (56), Kelantan (45), Pulau Pinang (40), Kedah (36), Negeri Sembilan (36) dan Terengganu (32).