
Mangsa membabitkan sembilan beranak dari Felda Lepar Hilir, Pahang iaitu bapa Karim Abdullah, 39, ibu Azizah Eiyi, 40; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah, 16; Putri Nor Fatin, 14; Muhammad Zulqarnain Haikal, 11; Putri Nurerina Natasya, 10; Muhammad Haziq Ziqree, 6, dan Putri Aryana Umaira, 4.
Seorang lagi adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Menurut Berita Harian, Ketua Polis Terengganu Mazli Mazlan berkata tujuh mayat ditemui di sektor A dan B dalam operasi mencari dan menyelamat bermula 8 pagi tadi selepas dihentikan 6 petang semalam.

Semalam, mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian, manakala Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2 km dari tempat kejadian.
Polis juga menemui sebuah kereta dan motosikal di tempat kejadian dipercayai milik mangsa terbabit.
Mengikut siasatan polis, keluarga terbabit datang ke jeram berkenaan sejak jam 2 petang, Sabtu lalu untuk berkelah.
Difahamkan mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba dan menyebabkan paras air meningkat di antara lima hingga 10 meter.