SAR kesan 8 mangsa dihenti awal, bimbang kepala air berulang

SAR kesan 8 mangsa dihenti awal, bimbang kepala air berulang

Bomba berkata penamatan lebih awal operasi juga mengambil kira ancaman haiwan buas.

Pemantauan polis menemukan sebuah motosikal SYM dan kereta Proton Gen2 kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mayat lelaki. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU:
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang hilang dihanyut kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman terpaksa dihentikan lebih awal petang tadi kerana dikhuatiri kepala air mungkin berulang.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba Terengganu Azman Alias berkata operasi hari pertama terpaksa ditamatkan pada 6 petang berikutan hujan lebat di lokasi SAR.

Beliau berkata seramai 37 anggota daripada Balai Bomba Dungun, Kemaman, Cheneh, termasuk anggota polis IPD Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dikerah untuk operasi SAR yang bermula kira-kira 3 petang.

“Selain cuaca buruk dan tidak menentu, kita juga terpaksa menamatkan operasi SAR lebih awal kerana bimbang ancaman binatang buas memandangkan kawasan jeram ini kawasan hutan simpan yang menjadi habitat haiwan liar,” katanya yang dihubungi Bernama.

Azman berkata pihaknya menjangkakan terdapat pertambahan anggota dan kelengkapan untuk operasi SAR yang akan bersambung 8 pagi esok.

Beliau berkata pihaknya memohon untuk mendapatkan bantuan anjing pengesan Unit K9 pihak bomba dan polis untuk mencari semua mangsa yang hilang.

“Kita turut mohon bantuan anggota Pasukan Gerakan Am dan penggunaan dron juga mungkin perlu untuk usaha pencarian,” katanya.

Azman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti di lokasi yang berisiko berlaku fenomena kepala air dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini.

Terdahulu, Ketua Polis Kemaman Hanyan Ramlan mengesahkan seorang wanita dan anak lelakinya ditemukan lemas hari ini manakala lapan individu masih hilang dalam kejadian kepala air berkenaan.

Beliau berkata setakat ini, sembilan mangsa disahkan daripada keluarga yang sama, manakala identiti seorang lagi masih belum dikenal pasti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.