Shabery berpengalaman terajui Felda hadapi cabaran dalam dan luar negara, kata penganalisis

Shabery berpengalaman terajui Felda hadapi cabaran dalam dan luar negara, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata perniagaan sebesar Felda memerlukan individu yang boleh menghadapi cabaran di dalam dan luar negara, seperti kempen anti-sawit.

Shabery Cheek dilantik sebagai pengerusi Felda berkuatkuasa semalam, menggantikan bekas menteri besar Terengganu, Idris Jusoh.
PETALING JAYA:
Penganalisis dan kumpulan peneroka sependapat Shabery Cheek yang pernah menjadi menteri bagi beberapa portfolio berpengalaman luas untuk menerajui Felda.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata perniagaan sebesar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan memerlukan individu yang boleh menghadapi cabaran di dalam dan di luar negara, seperti kempen anti-sawit.

Beliau khuatir mengehadkan jawatan tertinggi Felda untuk generasi peneroka sahaja akan mengurangkan pilihan calon-calon yang berkebolehan.

“Jawatan itu memerlukan kepakaran yang agak kritikal kerana Felda bukan hanya ada peneroka dan ramai bawahnya perlu dijaga,” katanya kepada FMT.

Semalam Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) melahirkan kekecewaan dengan pelantikan Shabery kerana beliau bukan kalangan ‘anak tempatan’. Penasihatnya, Mazlan Aliman berkata generasi baharu Felda perlu diberi peluang dan kepercayaan untuk menerajui organisasi itu.

Shabery pernah memegang portfolio menteri pertanian dan industri asas tani (2015-2018), komunikasi dan multimedia (2013-2015), belia dan sukan (2009-2013), dan penerangan (2008-2009); dalam pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak.

Bekas Ahli Parlimen Kemaman ini dilantik sebagai pengerusi berkuatkuasa 1 Julai, menggantikan bekas menteri besar Terengganu, Idris Jusoh.

Sementara itu, Kami Anak Felda percaya pengalaman Shabery antara faktor dalam pelantikan itu.

“Kita tengok Felda ini industri sawit dan tanah boleh dibangunkan. Mungkin salah satu faktor pengalaman beliau itu boleh menjadikan Felda lebih baik,” kata Presiden Fakhrul Razi Husin.

Beliau menyambut baik pelantikan Shabery dan berharap pengerusi baharu Felda itu memastikan kesinambungan terutama berkenaan kebajikan warga Felda.

“Kita juga harap kesinambungan yang telah dilakukan pengerusi-pengerusi kita yang lepas diteruskan dan dibuat penambahbaikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.