Kurang calon muda tak jejas PAS, kata penganalisis

Kurang calon muda tak jejas PAS, kata penganalisis

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, kekuatan parti itu terletak pada jentera dan kesetiaan penyokong terhadapnya.

Seorang penganalisis politik berkata, tiada risiko besar untuk PAS jika tidak memenuhi kuota 30% calon muda. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kekurangan calon muda tidak akan menjejaskan peluang PAS pada PRN di enam negeri, kata penganalisis.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, meletakkan calon muda bukan keutamaan PAS, walaupun terdapat desakan berbuat demikian oleh sayap Pemuda.

“Kekuatan PAS terletak pada jentera dan kesetiaan parti. Kita lihat ramai muka baharu menang PRU 2022 kerana faktor itu, bukan disebabkan calon itu sendiri.

“Jadi, saya rasa tiada risiko besar untuk mereka tidak mencapai kuota 30%,” katanya kepada FMT.

PAS memenangi 49 kerusi pada PRU15 November lalu, jumlah kerusi terbanyak berbanding parti lain. DAP menang 40 kerusi, PKR (31), Umno (26) dan Bersatu (25).

Rabu lalu, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu berdepan kesukaran mencapai sasaran meletak 30% calon muda bagi enam PRN.

Katanya, calon muda hanya akan membentuk 10% daripada senarai PAS. Sasaran 30% ditetapkan Presidennya, Abdul Hadi Awang beberapa tahun lalu.

Syaza berkata, Bersatu dan Gerakan, yang merupakan rakan PAS dalam Perikatan Nasional, lebih berkemungkinan meletakkan calon muda.

“Kami mungkin menjangkakan lebih ramai muka baharu daripada Bersatu kerana kumpulan kecil pemimpinnya. Bagi Gerakan, yang saya rasa banyak kerja perlu dilakukan, mereka memerlukan muka baharu untuk meyakinkan pengundi.”

Tetapi katanya, “baharu” tidak semestinya bermakna calon muda.

Syaza bagaimanapun meragui parti komponen lain dalam PN dapat meletakkan 30% calon muda, tetapi Gerakan berkemungkinan dapat berbuat demikian.

Seorang lagi penganalisis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, PAS bergantung kepada status ulama, biasanya dikaitkan dengan calon lebih tua dan tidak akan terjejas dengan kekurangan calon muda.

“Saya tidak fikir ia akan membawa sebarang perbezaan dari segi sokongan kepada PAS. Jika muka baharu, calon lebih muda hanya membentuk 10%, tetapi ia sangat berbeza buat parti lain, contohnya, (yang dalam) Pakatan Harapan atau Barisan Nasional.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.