2 kementerian kerjasama kekang penipuan eBeliaRahmah

2 kementerian kerjasama kekang penipuan eBeliaRahmah

Ia selepas polis menerima 14 laporan berkaitan kes penipuan pertukaran kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai membabitkan kerugian RM2,800.

Ahmad Maslan berkata, beliau akan menemui Kementerian Komunikasi dan Digital esok bagi membincangkan kes penipuan eBeliaRahmah.
PETALING JAYA:
Kementerian Kewangan akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi mengekang kes penipuan melibatkan pertukaran kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai.

Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan berkata beliau akan menemui KKD esok bagi membincangkan perkara itu supaya hebahan dapat dibuat di laman sosial kementerian, televisyen dan radio.

“Kita tidak mahu dua juta belia yang menerima inisiatif itu tertipu dengan ‘scammer’ kerana ingin menukar kredit RM200 tersebut kepada tunai,” katanya menurut Bernama selepas melawat pejabat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Johor di Johor Bahru.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf hari ini dilaporkan berkata, polis menerima 14 laporan berkaitan kes penipuan eBeliaRahmah membabitkan kerugian RM2,800 setakat ini.

Katanya, mangsa menghubungi suspek selepas melihat iklan menawarkan khidmat menukar kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai di TikTok dan Facebook Messenger.

Beliau berkata, suspek kemudian meminta mangsa mengimbas kod QR yang diberikan untuk memindahkan wang dari akaun e-dompet ke akaun bank mangsa.

Menurutnya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang dari e-dompetnya dipindahkan dan tiada wang dimasukkan ke akaun banknya.

Ahmad berkata, penebusan kredit RM200 bagi belia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa yang menuntut di institut pengajian tinggi kepada tunai tidak dibenarkan.

Ini kerana, katanya, pemberian kredit kepada golongan itu menerusi satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet, iaitu Boost, Setel dan Touch ‘n Go sebahagian usaha kerajaan menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai dalam kalangan belia.

“Kerajaan berharap belia dapat membelanjakan sepenuhnya kredit itu, terutama di premis perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekali gus dapat menyokong ekonomi PMKS tempatan.”

Mengenai pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak mendapat eBeliaRahmah, katanya, ia tidak melibatkan golongan itu kerana mereka sudah menerima elaun bulanan RM450.

“Saya mengharapkan sekiranya ada ahli politik mengutarakan isu ini, sila semak dahulu fakta pelajar IPG telah menerima elaun bulanan.”

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini menerusi Facebooknya mempersoalkan kerajaan yang didakwa tidak memberikan inisiatif kredit RM200 eBeliaRahmah kepada pelajar IPG.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.