
Chong berkata, kuasa sedemikian dinyatakan dalam watikah pelantikan terkini.
“Watikah baharu itu telah pun diluluskan oleh presiden, Muhyiddin Yassin, tanpa disedari ramai ahli,” katanya kepada FMT.
Dokumen itu telah diluluskan oleh Muhyiddin pada 6 Jun, kata Chong yang menggantikan Edmund Santhara Kumar pada Ogos tahun lepas.
Beliau berkata, surat kuasa baharu itu membolehkannya membuat “sebarang keputusan” kerana presiden telah mengamanahkannya untuk mengendalikan perkara sedemikian.
“Ahli-ahli mesti faham, ada watikah baharu dan kita tidak mahu watikah sebelum ini bertindih,” katanya.
Terdahulu, seorang pemimpin Bersatu mempersoalkan laporan bahawa tiga ahli jawatankuasa sayap bersekutu parti itu telah dipecat.
Ketua bahagian dari Selangor itu, yang enggan namanya disiarkan memberitahu FMT, hanya Muhyiddin boleh memecat ahli jawatankuasa itu, seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa timbalan ketua sayap itu, Dr Mahaganapathy Dass; Ketua Penerangan S Subramaniam; dan ahli jawatankuasa MU Raja telah dipecat.
Penolong setiausaha sayap itu, Dr Richard Ng juga dipetik sebagai berkata, sebuah jawatankuasa baharu “sedang dibentuk”.