
Saintis politik, Wong Chin Huat dari Universiti Sunway berkata, Muda patut memilih campuran kerusi, termasuk kubu kuat Perikatan Nasional (PN).
“(Muda juga patut memilih) kerusi dimenangi PH sebelum ini, tetapi diserahkan kepada BN, bukan hanya kerusi berbilang kaum di bandar dan akan ditandingi PH,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, ini akan membolehkan Muda memberi sedikit impak dalam PRN berbanding semua calonnya tewas dan mungkin hilang deposit, selain dapat mengelak didakwa menimbulkan masalah dengan bertanding di setiap kerusi.

Wong memberi amaran kepada Muda bahawa tidak bijak hanya memfokuskan kerusi bandar dan berbilang kaum yang juga kubu kuat PH kerana penyokong gabungan itu mungkin menjauhi parti berkenaan.
“Muda hanya akan menjadi satu lagi Gerak Independent dengan logo parti,” katanya merujuk kumpulan di mana calon bebas gagal menjadi Ahli Parlimen pada PRU15.
Beliau turut memberi amaran kepada Muda supaya tidak bertelagah dengan pemimpin PH atau Umno, sebaliknya fokus memenangi hati pengundi bosan dengan politiking atau kecewa terhadap Umno, tetapi tidak mempercayai PH.
“Pengundi yang letih atau kecewa dengan politik boleh mencecah sekitar 40% (pengundi) dalam pilihan raya kali ini. Jika Muda mendapat kira-kira separuh daripada undi mereka, secara automatik ia akan menarik undi dari PH dan Muda menjadi pemenang atau berada di tempat kedua, bukannya pengacau.”
Wong turut mempertahankan tindakan Muda bergerak solo dalam PRN, selain menjangkakan beberapa parti dalam kerajaan perpaduan bertembung pada PRN Sabah dan Sarawak.
“Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PH, BN dan Warisan mungkin bertembung sesama sendiri di Sabah, manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan PH di Sarawak.”
Sabah perlu mengadakan PRN selewat-lewatnya pada 2025 dan Sarawak menjelang 2026.

Tetapi, James Chin dari Universiti Tasmania berkata, PH patut meminta Muda tidak bergerak solo, sebaliknya menyatukan Muda dan semua parti “anti-PN” bagi memastikan pertandingan satu lawan satu pada PRN enam negeri.
Katanya, ini tidak semestinya segera menjadikan Muda komponen PH, tetapi sekadar memastikan mereka berada di pihak sama.
“Jika dilihat pada BN, mereka sentiasa mendapat sokongan parti kecil yang bukan ahli langsung BN, (seperti Makkal Sakti), jadi itu juga boleh dilakukan dengan mudah kali ini.”