
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata setiap Jemaah Menteri boleh memasuki setiap ruang di KLIA.
“Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah bagi laporan kepada saya semalam (Jumaat) dan semasa Yb Tiong berada di KLIA itu memang diiringi oleh polis bantuan dan anggota keselamatan MAHB.
“Dari segi isu pas keselamatan, itu tak jadi isu, sebenarnya setiap menteri ada pas VIP untuk masuk ke lapangan terbang walaupun kadangkala kita bukan mengambil penerbangan.
“Semalam (Jumaat) pun saya berada di lapangan terbang, bukan saya mengambil penerbangan, tetapi saya lancarkan satu penerbangan, jadi saya masuk ke kawasan larangan seperti balai berlepas dan sebagainya,” katanya memetik Sinar Harian.
Loke berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP di Pejabat DAP Negeri Sembilan di Seremban.
Beliau berkata, menteri berkenaan sememangnya layak memasuki kawasan larangan di KLIA sekiranya ada tugasan rasmi.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti insiden sebenar yang berlaku kerana tidak berada di lokasi ketika kejadian selain tidak ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Lain-lain itu dari segi isu dengan Jabatan Imigresen (JIM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan buat siasatan lebih terperinci dan mungkin akan dibincangkan di peringkat Jemaah menteri nanti,” katanya.
Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu itu sebelum ini didakwa “menceroboh” masuk ke balai ketibaan antarabangsa bagi membebaskan pelawat wanita China yang ditahan imigresen.
Semalam, Tiong berkata “peristiwa yang memalukan negara” telah terbongkar, susulan laporan mengenai kekecohan di KLIA membabitkan warga China ditahan di balai ketibaan.
Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang “kronik” di pintu masuk negara.
Katanya, semua maklumat berkaitan akan diserahkan kepada SPRM.