
Menterinya Loke Siew Fook berkata penting untuk membezakan kenderaan elektrik dengan kereta biasa terutama sekali dari aspek pengendalian keselamatan.
“Dari aspek keselamatan jika berlaku kemalangan, cara pengendalian kenderaan elektrik adalah berbeza dengan kenderaan biasa lain.
“Kalau terbakar tak boleh sembur air saja. Tapi bila bomba sampai di lokasi, dia tak tahu itu kenderaan elektrik atau kenderaan biasa kerana jika dilihat dari luar ia tiada beza dengan lain,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Khidmat 4S, Jalan Rahang di Seremban.
Kata Loke, kerajaan kemungkinan menggunakan indeks yang bermula dengan EV (electric vehicle) kerana EV tiada dalam sistem nombor pendaftaran ketika ini.
Sementara itu, Loke berkata kerajaan juga sedang mengkaji semula struktur pencukaian untuk kenderaan elektrik kerana ketika ini cukai untuk kenderaan itu dikecualikan sehingga 2025.
“Pada ketika ini mengikut kaedah akta Jabatan Pengangkutan Jalan memang ada formula perkiraan untuk kenderaan yang menggunakan pengiraan mengikut watt.
“Jadi dari segi pengiraan itu ketika ini memang lebih mahal daripada kereta-kereta biasa yang menggunakan cc (kapasiti enjin),” katanya.
Bagaimanapun, Loke memberi jaminan kadar cukai yang akan ditetapkan kelak akan lebih murah berbanding kereta biasa lain bagi menggalakkan penggunaan kenderaan mesra alam itu.