Elak ditipu, jangan tunaikan kredit eBeliaRahmah, nasihat kementerian

Elak ditipu, jangan tunaikan kredit eBeliaRahmah, nasihat kementerian

Kementerian Kewangan berkata menunaikan dana tersebut melanggar terma dan syarat yang ditetapkan.

Kementerian Kewangan berkata cubaan untuk menunaikan dana tersebut akan menggagalkan matlamat sebenar eBeliaRahmah yang bertujuan membantu belia membiasakan diri dengan kemudahan pembayaran tanpa tunai.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kewangan mengingatkan penerima bantuan program eBeliaRahmah agar tidak cuba menukar kredit RM200 yang diterima kepada wang tunai sekali gus mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan.

Dalam maklum balas bertulis kepada Bernama berhubung isu berkenaan, Kementerian Kewangan mengakui terdapat kes penerima menjadi mangsa penipuan selepas memilih untuk menggunakan ‘khidmat menukar kredit kepada wang tunai’ yang ditawarkan di platform media sosial.

“Terdapat kes yang dikongsi di media sosial mengenai penerima menjadi mangsa penipuan selepas menggunakan ‘khidmat menukar kredit kepada wang tunai’, dengan penerima tidak mendengar khabar berita daripada individu tersebut selepas membuat pemindahan.

Apabila ini berlaku, kerajaan tidak akan dapat memberi pampasan kepada penerima,” menurut kementerian melalui maklum balas bertulis oleh pasukan Komunikasi Korporatnya.

Menurutnya, tidak ada keperluan bagi penerima menukar kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai sekali gus merisikokan mereka kepada penipuan, kerana dana itu boleh digunakan di lebih 1.7 juta perniagaan di seluruh negara dan untuk membayar perkhidmatan serta pembelian secara dalam talian melalui DuitNow.

DuitNow adalah sistem e-pembayaran menggunakan kod QR yang membolehkan rakyat Malaysia membuat pembayaran dan menerima dana daripada mana-mana bank berdaftar dan platform e-dompet, dengan hanya satu kod QR.

Menurut kementerian cubaan untuk menunaikan dana tersebut akan menggagalkan matlamat sebenar program itu yang bertujuan membantu belia berusia 18 hingga 20 tahun, serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa membiasakan diri dengan kemudahan pembayaran tanpa tunai dan pada masa sama meringankan beban kewangan mereka.

Selain itu, menurut kementerian dengan menunaikan dana tersebut, penerima dan peniaga sama-sama melanggar terma dan syarat ditetapkan untuk program itu, yang menyatakan ‘RM200 tidak boleh ditunaikan atau dipindahkan daripada rakan-ke-rakan’.

Sehubungan itu, kementerian menyeru agar penerima hanya membuat pembelian fizikal daripada peniaga yang mengambil bahagian menggunakan platform e-dompet yang sah dan tidak cuba menunaikan dana, terutamanya melalui khidmat yang diiklankan di media sosial.

Terdahulu, Bernama melaporkan terdapat banyak iklan di media sosial yang menawarkan khidmat menukar kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai, selepas ia dikreditkan ke akaun e-dompet penerimanya bermula Isnin lepas.

Bagaimanapun, ramai tampil menerusi hantaran di sosial media mereka menyatakan menjadi mangsa penipuan selepas terpedaya dengan khidmat seumpamanya, apabila tidak memperoleh semula dana mereka seperti yang dijanjikan oleh ‘perkhidmatan’ atau lebih tepat penipu terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.