Banjir kilat landa beberapa kawasan di Balik Pulau

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Balik Pulau

Balik Pulau, Sungai Pinang dan Teluk Bahang dinaiki air susulan hujan lebat sejak 3 pagi tadi menyebabkan puluhan rumah dimasuki air.

Beberapa kawasan yang dinaiki air susulan hujan lebat di Pulau Pinang sejak awal pagi tadi. (Gambar MBPP)
PETALING JAYA:
Beberapa kawasan di sekitar daerah Barat Daya, di sini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat melanda Pulau Pinang sejak awal pagi tadi namun tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.

Hujan lebat yang melanda sejak 3 pagi tadi menyebabkan kawasan terbabit iaitu Balik Pulau, Sungai Pinang dan Teluk Bahang dinaiki air sehingga 50 sentimeter manakala puluhan rumah dinaiki air.

Penduduk di Sungai Pinang, Hamisah Sariman, 40-an berkata mereka sekeluarga sedang tidur dan hanya menyedari air mula masuk ke dalam rumah sekitar 3.30 pagi, ekoran hujan lebat.

“Saya terjaga apabila dengar hujan makin lebat dan bila keluar bilik, mendapati ruang tamu telah penuh dengan air hujan. Saya kemudiannya kejutkan suami dan anak-anak dan cuba angkat barang-barang elektrik ke tempat tinggi supaya tidak rosak.

“Ini pertama kali rumah kami dimasuki air banjir tahun ini. Air naik hingga paras lutut kerana hujan semakin lebat hingga pagi tadi,” katanya, lapor Bernama.

Manakala seorang lagi penduduk, Nur Syazwani Ariffin, 30, berkata dia terjaga kira-kira 3.30 pagi ketika hujan lebat mula melanda dan air sungai mula melimpah ke parit.

“Saya sekeluarga tinggal di tingkat dua flat dan suami turun alihkan kereta dan motosikal ke tempat yang tinggi. Penduduk di tingkat bawah paling terjejas kerana air naik terlalu pantas dan tidak sempat menyelamatkan barangan,” katanya.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), memaklumkan beberapa tempat di sekitar daerah Timur Laut turut ditenggelami air antaranya
Jalan P. Ramlee, Jalan Langkawi (Kebun Lama), Taman Rampas (Sungai Pinang), Jalan Perak, Lilitan Stadium dan Persiaran Perak (Astaka Stadium) kerana hujan berterusan sejak semalam.

“Kejadian pokok tumbang turut belaku di beberapa kawasan antaranya di kawasan Jalan Loh Poh Heng, Paya Terubong serta laluan di sebelah Recsam menghala ke Jalan Tun Sardon.

“Tindakan segera sedang dijalankan dan laluan tersebut akan dibuka kepada kegunaan orang awam dalam masa terdekat, setelah selesai dan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.