35 Pati ditahan sembunyi dalam ladang kelapa sawit

35 Pati ditahan sembunyi dalam ladang kelapa sawit

Polis berkata orang awam sebelum itu mengesan sebuah bot yang terdampar, dipercayai digunakan pendatang tanpa izin itu.

Polis berkata pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai menjadi dalang kegiatan berkenaan. (Gambar Imigresen Perak)
PETALING JAYA:
Polis menahan seramai 35 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang bersembunyi di ladang kelapa sawit di Segari, Manjung, semalam.

Ketua Polis Manjung, Mohamed Nordin Abdullah, berkata kumpulan Pati terbabit sebelum itu dikesan orang awam yang melihat sebuah bot terdampar di pesisir pantai.

Katanya, bot terbabit dipercayai digunakan oleh Pati berkenaan.

“Hasil pencarian di kawasan dilaporkan, mereka berjaya dikesan dan ditahan.

“Semua Pati ini terdiri daripada 24 lelaki dewasa, 10 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki. Mereka bersembunyi di kebun sawit berdekatan pantai berkenan,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Nordin berkata, siasatan awal kemudiannya membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan di sebuah restoran makanan laut di Kampung Bharu, kerana disyaki menjadi dalang kegiatan berkenaan.

“Mereka kemudiannya direman bagi membantu siasatan untuk siasatan lanjut.

“Kes diklasifikasikan sebagai penyeludupan manusia dan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.