
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata operasi SAR yang memasuki hari ketiga diteruskan kira-kira 6.45 pagi tadi selepas ditangguhkan lewat petang semalam.
Katanya, enam anggota polis turut menyertai operasi itu yang dimulakan sejauh 5km dari lokasi mangsa dipercayai memulakan aktiviti berburu.
“Berdasarkan maklumat yang kita perolehi setakat ini, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Iwan Musakir, 33, dan anak saudaranya, Al Fajriada, 11.
“Selain itu, kita turut berdepan cabaran sepanjang pencarian, termasuk tiada talian telefon dan liputan Government Integrated Radio Network (GIRN) di lokasi,” katanya menurut Berita Harian.
Sebelum ini, media melaporkan kedua-dua mangsa dikhuatiri hilang selepas keluar berburu di kawasan hutan dekat Ladang OP 6 Usahawan Borneo Brumas, dekat Tawau sejak 24 Jun lalu.
Mereka dikatakan keluar berburu secara berkumpulan seramai lapan orang, sebelum berpecah kepada beberapa kumpulan kecil di dalam hutan.
Operasi SAR dilancarkan sejak Khamis lalu, tetapi gagal menemui sebarang petunjuk.