Pertikaian singkir ahli sayap bersekutu sudah selesai, kata pemimpin Bersatu

Pertikaian singkir ahli sayap bersekutu sudah selesai, kata pemimpin Bersatu

Pemimpin bahagian itu berkata Muhyiddin Yassin tidak akan bersetuju ahli penaja sayap meninggalkan parti kerana memerlukan undi masyarakat India.

Seorang pemimpin Bersatu berkata surat penyingkiran dikatakan melibatkan tiga ahli jawatankuasa penaja sayap bersekutu tidak menyenaraikan sebarang nama.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu mempersoalkan laporan tiga ahli jawatankuasa penaja sayap bersekutu parti itu dipecat.

Pemimpin bahagian dari Selangor, berkata surat penyingkiran dikatakan itu tidak menyenaraikan sebarang nama, “tidak juga surat itu ditandatangani Muhyiddin,” merujuk kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Beliau yang enggan dinamakan memberitahu FMT, hanya Muhyiddin boleh menyingkirkan ahli penaja berkenaan.

Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan Naib Ketua Sayap Bersekutu, Dr Mahaganapathy Dass, Ketua Penerangan S Subramaniam, dan ahli jawatankuasa MU Raja didakwa dipecat.

Penolong setiausaha sayap itu, Dr Richard Ng dipetik sebagai berkata, beliau mendapat arahan bahawa pelantikan ahli jawatankuasa penaja baharu bagi sayap itu “dalam proses pelantikan”.

Bagaimanapun, sumber FMT berkata, perkara itu sudah diselesaikan “beberapa minggu lalu”.

Beliau berkata, ketiga-tiga pemimpin itu dilantik Muhyiddin dan perlembagaan parti juga menetapkan ahli tersebut tidak boleh disingkirkan sewenang-wenangnya.

“Saya pasti Muhyiddin dan (ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu) Azmin Ali tidak akan membenarkan ketiga-tiga meninggalkan Bersatu kerana PN memerlukan undi masyarakat India,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.