
Pensyarah sains komputer Universiti Sains Islam Malaysia Rosalina Abdul Salam berkata penggunaan peranti secara meluas di kalangan kanak-kanak harus dimanfaatkan sepenuhnya, tidak hanya dibazirkan bagi permainan video sahaja.
“Ambil langkah segera memperkenalkan mata pelajaran merangkumi penggunaan teknologi terkini perkomputeran dan menggunakan alat utama AI seperti ChatGPT, Bing dan Bard…namun kandungannya harus berubah mengikut peredaran masa.
“Bagi kanak-kanak di tadika pula, tarik minat dengan penggunaan kaedah interaktif, pembantu maya (virtual assistant) dan robotik,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, kelewatan untuk mempersiapkan murid dari peringkat sekolah rendah akan menyukarkan usaha melahirkan tenaga mahir AI yang dijangka berkembang pesat dalam lima tahun.
Jelasnya, perkembangan pesat itu juga bakal menjejaskan pekerjaan sedia ada termasuk kumpulan profesional seperti disuarakan Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Bulan lalu, Presidennya Syed Hussain Syed Husman dilaporkan media berkata ini kerana AI dapat membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana meningkatkan kecekapan operasi.

Pensyarah Fakulti Komputeran Universiti Malaysia Pahang Syafiq Fauzi Kamarulzaman berkata kerjaya dalam bidang AI yang menjanjikan pendapatan agak lumayan seharusnya menjadi pendorong untuk pelajar mengikuti pengajian itu.
“Lepasan ijazah boleh ditawarkan pekerjaan sehingga RM6,000 di firma-firma tempatan mengikut kompetensi pelajar tersebut dalam pengaturcaraan.
“Apabila banyak mesin yang menggunakan teknologi AI, lebih banyak pentadbir, jurutera dan juruteknik diperlukan bagi memenuhi keperluan mengurus, menyelenggara dan membaiki,” katanya.