Menteri akui ada kekangan perkenal gaji progresif

Menteri akui ada kekangan perkenal gaji progresif

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata Singapura hanya melaksanakannnya selepas mengkajinya selama lima tahun.

V Sivakumar berkata pembentangan pada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Ogos depan akan meneliti kewajaran pelaksanaan gaji progresif. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan mengakui wujud kekangan untuk melaksanakan gaji progresif yang hendak diperkenalkan seiring peningkatan kos sara hidup dan kemahiran, kata Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Tanpa menjelaskan secara lanjut, Sivakumar merujuk Singapura yang hanya melaksanakannya setelah membuat kajian selama lima tahun dan dilaksanakan membabitkan tiga sub sektor sahaja

“Sehubungan itu, kerajaan akan mengkaji secara teliti sebelum melaksanakan model gaji progresif ini untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Sivakumar berkata kerajaan komited untuk membela pekerja supaya mereka menikmati gaji setimpal dengan produktivitinya, kemahiran dan pengalaman.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga ingin majikan mendapat produktiviti dan keuntungan.

“Maka, adalah wajar untuk kerajaan melihat kepada sistem gaji selain daripada pelaksanaan gaji minimum,” katanya.

Menurutnya, pembentangan pada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Ogos depan akan meneliti kewajaran pelaksanaan, menetapkan sama ada perlu kajian lanjut atau menambah baik sistem gaji sedia ada.

Mac lalu, Sivakumar berkata kementeriannya dalam usaha untuk meneliti cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai pelaksanaan model ‘gaji kehidupan wajar’ atau gaji progresif di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.