Lorong bas percubaan mula di Jalan Ampang Isnin

Lorong bas percubaan mula di Jalan Ampang Isnin

Lorong bas itu, projek kerjasama Rapid Bus dan DBKL, akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat mulai 6 hingga 9 pagi.

Lorong bas percubaan di Jalan Ampang dijangka memberikan manfaat kepada komuniti sekitar koridor Jalan Ampang yang ingin memasuki pusat bandar raya untuk bekerja. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan projek percubaan lorong bas bermula dari persimpangan Jalan Rhu sehingga ke persimpangan Jalan Tun Razak, di Jalan Ampang mulai 3 Julai.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yassin berkata, lorong bas itu akan melibatkan 34 bas dari dua laluan, iaitu laluan 300 dari Pandan Indah hingga Lebuh Ampang, dan laluan 303 dari Taman Mulia Jaya hingga Lebuh Ampang.

Menurutnya, lorong bas itu yang akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat mulai 6 hingga 9 pagi dijangka memberikan manfaat kepada komuniti sekitar koridor Jalan Ampang yang ingin memasuki pusat bandar raya untuk bekerja.

“Dengan adanya lorong bas ini, perkhidmatan bas Rapid KL akan lebih lancar dan menjimatkan masa perjalanan sehingga 20 minit jika dibandingkan menggunakan kenderaan persendirian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Yazurin berkata, projek percubaan itu diharapkan menjadi pemangkin bagi peralihan mod perjalanan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kritikal di Jalan Ampang.

“Perkhidmatan bas di Jalan Ampang, bukan sahaja membawa penumpang ke KLCC, namun menghubungkan penumpang ke mod pengangkutan awam yang lain untuk ke destinasi akhir.

“Perjalanan akan bertambah selesa dengan penggunaan bas dua tingkat yang baharu dan selesa serta dengan adanya kemudahan ‘Park n Ride’,” katanya.

Muhammad Yazurin berkata, komuniti sekitar Ampang yang ingin menggunakan perkhidmatan bas boleh memanfaatkan kemudahan “Park n Ride” di LRT Ampang, yang mengenakan kadar parkir hanya RM4.30 sehari.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi Pulse di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan, aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi bas serta layari laman web rasmi Rapid KL di https://myrapid.com.my untuk maklumat terkini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.