
Beliau berkata sehingga Mei lepas sahaja sebanyak 2,515 penagih telah direkodkan, melebihi jumlah penagih yang dicatatkan pada tahun lepas seramai 2,308 individu.
“Masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini masih terkawal namun terdapat peningkatan sedikit pada tahun ini yang kita lihat bekalan dadah yang dikatakan sebagai mesra pengguna telah menyumbang kepada peningkatan jumlah penagih.
“Kalau dahulu mungkin ada satu ‘pot’ untuk dapatkan dadah, sekarang ada ‘mobile pot’ kerana boleh didapati di mana sahaja selain lebih mudah apabila mereka hanya membuat pesanan melalui aplikasi dalam telefon bimbit dan bekalan boleh diperoleh misalnya menerusi penghantaran secara tunai,” katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebelum Covid-19 sekitar 2019, antara lokasi yang menjadi “kegemaran” penagih ialah bangunan lama yang ditinggalkan selain ladang kelapa sawit atau getah.
Kini keadaan berubah apabila lokasi berkenaan tidak lagi menjadi pilihan utama dan berdasarkan risikan dijalankan, penagih cenderung menggunakan rumah sendiri, tandas awam atau kenderaan sebagai tempat melepaskan gian, katanya.
Menurutnya keadaan kehidupan kini yang semakin menekan menyebabkan sesetengah individu menggunakan dadah sebagai sumber untuk lepaskan tekanan.
“Kalau lima tahun lalu mungkin dadah tradisional seperti heroin dan morfin menjadi pilihan penagih namun kini penggunaan dadah jenis sintetik antaranya seperti syabu telah mendominasi,” katanya.
Sementara itu, Zirwatul Ahlam memaklumkan golongan belia antaranya terdiri daripada buruh am dan penganggur mencatatkan penglibatan tertinggi dengan bahan larangan itu di Pahang.
Menyentuh mengenai penglibatan golongan wanita dengan dadah, beliau berkata ia masih rendah iaitu hanya 3.6% daripada 2,386 penagih setakat April dan punca penagihan itu adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya dan pasangan selain tekanan akibat masalah keluarga.